HAJI HUSSAIN BIN KASLAN
GURU DAN PENGASAS

SEJARAH RINGKAS
Assalamu'alaikum wr. Wb.
Tahun 1950 adalah titik permulaan dan kejutan bagi saya setelah kejadian
rusuhan Natrah dan kejadian itu memberikan satu semangat dan betapa pentingnya
Ilmu terutama seka Ilmu mempertahankan diri yang mengikut saluran kejalan
kebenaran semata-mata hanya untuk membela diri.Saya berjumpa dengan anak
saudara bernama Akiak tentang minat saya mempelajari Silat yang bersejarah
cukup dengan Adat-Istiadat dan pegangan disiplin yang mantap.Lalu dibawa
saya kegelanggang Silat Seni Gayong untuk ditemu-duga.
Setelah bertanya beberapa soalan saya diberi penjelasan bawa Seni Gayong
tiada pantang larangan hanya mengikut saluran yang ditentukan oleh hukum
syaraq dan harus mengikut perintah undang-undang Negara.Saya diberi tempoh
dua minggu untuk memikirkan dan memberi jawapan.
Setelah saya mengambil keputusan untuk menjadi ahli maka saya tiba digelanggang
bersama empat orang lain,Kami tidak diterima kerana bilangan yang harus
menyempurnakan Adat-Istiadat Perlimau tapak harus genap tujuh orang sedangkan
kami hanya datang berlima.Jadi saya tidak dapat menceburkan diri saya
sabagai ahli Seni Gayong yang sah selagi belum cukup tujuh orang. Setelah
mendapatkan tujuh orang maka saya terus mengikuti dan menjalani Adat-Istiadat
Perlimau Tapak dengan rakan-rakan yang lain.
Tanpa buang masa saya terus mulakan latihan pada hari itu juga tetapi
pada masa itu latihan diadakan secara tersembunyi.
Gelanggang dibahagi kapada beberapa daerah iaitu Balestier,Kampong Saigon
(didaerah River Valley),dan Quarters Custom Maxwell Road.
Setelah belajar dua tahun, gelanggang bertambah dan berkembang dicawangan
Sekolah Victoria.Selepas itu saya dilantik sabagai jurulatuh bahagian
Jalan Besar bersama Hj. Buang Bahar.Mahaguru mencari pesilat-pesilat terbaik
untuk bergelanggang diluar.Setelah mencari dari beberapa daerah Mahaguru
telah memilih saya dan Hj. Buang Bahar untuk mewakili Silat Seni Gayong
dalam permainan seni pisau satu setiap kali membuat persembahan diluar
bersama 16 orang yang lain.Mereka adalah Hj Fadlan,Hj. Mansur Fadal,Sinwan,Jaafar,Qamari.Suib,Fatimah,Said,Sabariah
dan lain-lain.Saya bersama yang lain dibawa keMalaysia kerana menerima
undangan dari Tengku Kassim.Buat pertama kali saya peluang berjumpa dengan
Sultan Kedah. Penginapan kami di tempatkan diSultan Abdul Hamid Sports
Club,Alor Star.
Saya dan sahabat seperjuangan mula mengorak langkah mengembangkan Silat
Seni Gayong didaerah masing-masing.
1952
Seramai 52 orang ahli Silat Seni Gayong mengadakan rombongan Lembaga Tetap
Kongres keMelaka.Malangnya bas yang saya naiki bersama ahli Gayong yang
lain menimpa kemalangan hingga terbalik diBatu Dua,Simpang Renggam.Mujur
tiada yang mengalami cedera parah hanya anak saudara saya,Qamari Bin Melan
terpaksa dimasukan keHospital kerana memerlukan rawatan.Walau bagaimanapun
kami tetap meneruskan perjalanan menggunakan bas lain.Syukur Alhamdulillah
persembahan diteruskan dengan berjaya walaupun dengan keadaan yang merunsingkan.Ditahun
yang sama juga saya dikurniakan cahaya-mata anak lelaki iaitu Mohd. Rahim
yang sekarang menyambung amanah saya.
1953/54
Sekali lagi saya mengikuti rombongan Silat Seni Gayong Singapura keMelaka.Setelah
sampai diMelaka saya di undang kerumah Encik Yaman diBukit Lintang. Pada
hari yang sama saya dianugerah serta diamanahkan sabagai Pemimpin dicawangan
Sekolah Victoria dan diarahkan untuk bertanggung jawab dalam hal perubatan
seperti urut-mengurut jika ada anak-anak buah yang cedera.Mahaguru juga
mengistiharkan daerah Bakar Sampah sabagai Pusat Latihan Silat Seni Gayong
seluroh Singapura.
Pada tahun yang sama Mahaguru berpindah rumah diLorong Fatimah,Woodlands.
Permohonan untuk mendaftar Sekolah Silat Seni Gayong juga diluluskan
pada tahun yang sama.Setelah terbentuknya Sekolah Silat Seni Gayong maka
Mahaguru adakan kursus untuk orang-orang Kedah yang berminat mempertingkatkan
pelajaran Seni Gayong diSingapura.Setelah ada diantara mereka yang ingin
menyertai kursus itu,saya diarahkan oleh Mahaguru untuk memimpin mereka.Diantaranya
adalah Cikgu Majid, Cikgu Awang dan arwah Ramli.
1959
Cinta saya terhadap seni bukan sahaja tertumpu pada silat malahan saya
juga berminat dalam seni drama.Dan dengan sambutan bagitu baik dan dorongan
dari rakan-rakan maka saya bertekad untuk menubuhkan persatuan yang diberi
nama PERKASA '59.Dengan sokongan padu yang kuat bersama rakan-rakan lain
yang berbakat ,kami turut serta dalam beberapa pertandingan Drama setempat
dan keputusan-nya amat menggalakan.Drama 'Juragan Budiman' arahan anak
saudara saya, Qamari dapat tempat kedua dalam Pertandingan Drama seluroh
Singapura anjuran Badan Semangat Baru dan menjuarai satu pertandingan
drama setempat dengan drama yang berjodol 'Cincin Parung Sari'.
Setelah menikmati kejayaan demi kejayaan kami diberitahu oleh pihak pendaftar
kerajaan tidak bolih menggunakan nama PERKASA '59 kerana nama itu sudah
digunakan oleh persatuan sepak takraw terlebih dahulu. Dari itu saya dan
rakan-rakan bersepakat untuk berusaha mencari nama yang sesuai.Tetapi
aktiviti seni silat dan drama tetap kami teruskan.
1960'an
Silat Seni Gayong Singapura dibawah jagaan saya pergi keStadium Kubu,Melaka
untuk menyertai Perdana Gayong seluroh Malaysia.Turut serta bersama saya
adalah anak saya,Mohd. Rahim dan pasangan Ahmad Hj. Mohd. Som yang turut
membuat persembahan seni keris.Umurnya pada ketika itu adalah dalam lingkungan
10 tahun dan peluang bagi saya memberinya sadikit pendedahan walaupun
ketika itu dia bersaing dengan orang-orang yang jauh lebih dewasa darinya.
Pada ke esokan harinya saya bersama orang-orang kampung menyaksikan Mahaguru
mengamuk kerana tidak senang dengan beberapa perkara yang terjadi semasa
Malam Perdana Gayong.
Pada masa itu Silat Seni Gayong Singapura seringkali membuat persembahan
di Kuala Lumpur atas jemputan Dato' Harun Idris dan juga di Hari Sang
Sepurba Negara atas jemputan Sultan Perak.
Saya juga di undang oleh Sultan Brunei untuk menjalani Adat-Istiadat
Perlimau Tapak untuk adik Baginda beserta dengan Governor dan ketua-ketua
askar di-raja Brunei.
Dan saat yang tidak dapat saya lupakan apabila Mahaguru dengan secara
peribadi berpesan sabagai amanah untuk saya mencari Makam anak-anak Raja
Bugis yang bernama Daeng Marewah dan Daeng Celak di mana pada masa itu
payah untuk dijumpai.
1963
Dengan usaha bersama rakan-rakan maka persetujuan ramai telah dibuat untuk
menetapkan nama baru persatuan.Maka tertubuhlah persatuan Pertubuhan Anak-Anak
Sandiwara Angkatan Kesenian atau nama ringkasnya PASAK.Mereka yang menjadi
tulang belakang menerajui PASAK pada ketika itu adalah Capt. Samuri Ibrahim,Arif
Zahari,Yahya Bujang,Zainol Yusof dan Qamari Melan.
Pada ketika itu PASAK bagitu aktif dengan seksi Drama,Silat,Musik dan
Tarian. Seksi drama PASAK telah mengemukakan saorang dramatis yang berbakat
dan hingga hari ini aktif dikaca TV saluran Malaysia.Beliau adalah pelakun
veteran S. Sahlan.

Tetapi kekuatan banyak pada Seni Silat dan nama-nama saperti Mahfudz
Mahdor,Suradi Sipon,Said Osman,Saadon,Muzakir Ahmad, Kasmui Sibon dan
Omar Pakir Maidin masih dalam ingatan saya kerana mereka diantara anak
murid tertua saya.
1970an
Atas permintaan dari Mahaguru saya kePusat Latihan Tertinggi Silat Seni
Gayong Malaysia diTaiping, Perak untuk mengikuti latihan pesat kursus
tali pinggang hitam. Sewaktu disana Mahaguru membawa saya berjumpa Sultan
Perak untuk dikenalkan saya sabagai pemimpin Silat Seni Gayong Singapura.
Dalam tahun 70an juga saya dianugerah tali pinggang hitam calit 1.
Pindah rumah ke-Sekolah Rendah Tanjung Rhu dan membuka gelanggang Silat.
Sambutan ahli-ahli yang mendaftar sungguh menggalakkan.Kebanyakan nya
datang dari Geylang, Kampung Amber dan daerah Katong termasuk dua orang
anak perempuan Tuan Hj. Yaakob Mohd. Saya mengetuai Silat Seni Gayong
(PASAK) Singapura membuat persembahan untuk World Martial Arts Festiival
diGay World Stadium,Geylang.Sambutan sangat memerangsangkan kerana jaguh-jaguh
BelaDiri SeDunia turut mengambil bahagian.

Yang amat membanggakan diri saya adalah perhatian dunia kapada Silat
Seni Gayong amat menggalakan.Memang pesilat-pesilat saya ketika itu kalau
main cukup lasak dan ngeri.
Nama Silat Seni Gayong (PASAK) ketika itu sangat harum dan sering dijemput
oleh Encik Lee Kuan Yew untuk anak-anak murid saya membuat Perbarisan
Hari Kebangsaan diPadang.Sekurang kurangnya 250 orang mewakili Gayong
(PASAK) dalam perbarisan itu. Saya juga menerima undangan dari Encik Lee
Kuan Yew untuk membuat persembahan Budaya di Istana Negara untuk menyambut
kedatangan Queen Elizabeth.Wakil budaya China(Dragon Dance) dan Budaya
India(Indian Dance).
Kejadian yang menjadi kenangan pahit bagi saya apabila saya ditimpa kemalangan
di daerah Jalan Besar.Bahagian punggung saya di gilis lori 14 kaki setelah
saya terjatuh dari motosikal semasa perjalanan pulang dari kerja.Alhamdulillah
kerana Allah hendak panjangkan umur saya.Setelah dua minggu saya dibenarkan
pulang dari hospital. Tidak lama kemudian saya turun kegelanggang untuk
mula mengajar Silat.
Saya bersama anak-anak murid menerima tawaran untuk membuat gambaran
filem yang bertajuk 'Asian Warrior.Saya menerima tawaran itu tetapi tidak
dapat salinan video untuk simpanan persatuan.
1976
Kerana sejarah tentang Silat Seni Gayong bagitu terkenal maka SSC mencadangkan
supaya satu badan induk seni silat ditubuhkan diSingapura.Maka dihantarnya
saorang wakil dari SSC menemui saya atas dasar kemampuan dan pengalaman
saya dalam bidang persilatan,Maka saya menemui Tuan Hj. Yaakob Mohamad
untuk meminta pandangan beliau tentang perkara ini.Setelah disetujui saya
dengan sokongan Tuan Hj. Yakob membentuk dan mengasaskan penubuhan PERSISI.
Berhijrah ke-Batu Pahat,Johor.
Anak saya Md Rahim mengambil alih gelanggang-gelanggang yang saya tinggalkan(Pasir
Panjang dan gelanggang baru di Ghim Moh).
Membuka gelanggang diSolok Wan Moh dan membentuk Jawatan Kuasa serta
Lembaga Waris Beradat.Selama empat tahun penambahan ahli sungguh menggalakan
dan Mahaguru sendiri pernah keGelanggang Solok Wan Moh untuk membuat lawatan
sambil menyaksikan persembahan anak-anak Gayong dari Singapura dan Batu
Pahat.
1980
Mengambil alih tugas dan tanggung jawab sabagai teraju dan memimpin Silat
Seni Gayong (PASAK) Singapura kerana pergerakan diSingapura agak lembab
tambahan anak saya Md. Rahim menghadapi masaalah masa kerana pekerjaan
dan juga masaalah peribadi.
Setelah beberapa tahun menerajui Silat Seni Gayong (PASAK) Singapura.
Ahli baru bertambah dan tambahan cawangan diBalai Rakyat sangat menggalakkan.
1988
Membuat rombongan satu bas seramai 40 orang keTaiping,Perak untuk menemui
Mahaguru sambil menjalani Majlis Adat-Istiadat penyampaian sandang dan
tali pinggang untuk ahli-ahli Gayong (PASAK) Singapura.

1989
Menunaikan fardhu Haji bersama Hj. Sarkawi dan abang beliau,Hj. Marzuki.
1991
Mahaguru meninggal dunia. Pergi menziarah 100 harinya untuk menukar batu
insan di pusara Mahaguru bersama Ramli Kasiran, Zaharuddin(Awi) dan 20
orang lagi dengan menaiki satu van.
1991-1995
Coach Team Silat Singapura atas permintaan PERSISI.

Tanda-tangan perjanjian dan syarat persetujuan menjadi Jurulatih Tim
Singapura |
 |
1999
Serahkan sabahagian tugas-tugas kapada anak saya Md. Rahim. Upacara sederhana
untuk pengumuman saya sampaikan diMajlis Penyampaian hadiah Ujian Tahunan
di East Coast Campsite.
2000
Pertabalan rasmi anak saya,Md. Rahim untuk menggantikan saya selaku Guru
Tertinggi Silat Seni Gayong (PASAK) Singapura. Majlis perasmian serentak
dengan sambutan Maulidul Rasul di Perkampungan Melayu.Geylang.
Sejarah yang tidak akan saya lupakan iaitu pertemuan dengan cicit keturunan
Daeng Marewah dan Daeng Celak iaitu Pak Hj. Md. Yusuf Bin Osman.(Sila
lihat cerita tentang pertemuan ini).
Seringkali membuat lawatan keMakam kedua-dua anak Raja Bugis bersama
ahli-ahli SSG(PASAK) yang lain dengan di ketuai oleh Pak Hj.Yusuf.
2002
Mengikuti rombongan SSG (PASAK) Singapura dan Johor ke-Perak,Kedah dan
Selangor).Sila lihat aktiviti lawatan muhibbah ke-Malaysia.
2002 selanjutnya
Segala urusan pelajaran dan pengawasan pergerakkan Silat Seni Gayong (PASAK)
Singapura ditugaskan kapada anak saya,Mohd. Rahim sabagai penyambung amanah
saya.
Selama tiga tahun membawa Barisan Utama Kesenian Gayong (PASAK) ke Chungju
World Martial Arts Festival di Korea. Saya merasa bangga dengan keupayaan
beliau bersama anak-anak buah yang lain berhasil mengharumkan nama Silat
Seni Gayong bukan sahaja sambutan dari penduduk Chungju malahan dari Negara
lain yang turut mengambil bahagian.
LUAHAN DARI HATI SEORANG GURU
Walaupun dengan umur dan keadaan saya yang uzur saya masih lagi bertekad
dengan izin Allah jua untuk menyampaikan segala Ilmu dan pelajaran kapada
anak-anak yang masih memerlukan bimbingan saya terutama sekali yang masih
benar-benar taat kapada pegangan Ilmu Silat Seni Gayong. Ya,dzahir saya
yang uzur tetapi jiwa saya tetap sihat dengan penglihatan mata hati saya
tentang kejujuran anak-anak buah saya yang sudah di imanahkan sabagai
pemimpin.
Mata yang Allah kurniakan kapada saya tidak bagitu awas kerana keuzuran
saya tetapi hati saya nampak jelas dan terang telatah anak-anak bimbingan
saya yang takut memperjuangkan sabagaimana saya perjuangkan kerana takut
dengan bayang-bayang mereka sendiri,takut kerugian dalam kehidupan berilmu
dan takut kalau diri mereka tidak disanjung dan dipuji.
Beringatlah kapada anak-anak yang mengaku berpuloh-puloh tahun bergiat
dalam Seni Gayong. Lama tinggal lamanya sahaja tetapi hati dan jiwa tetap
kosong,Ambil iktibar dengan kejadian yang menimpa rakan-rakan yang keluar
dari Seni Gayong (PASAK) kerana masaalah sikap dan seringkali mengaku
dirinya orang lama dalam Gayong tetapi kecundang kerana tidak mengikut
tuntutan Ilmu.Yang dia mahu adalah Ilmu Silat Seni Gayong yang saya sampaikan
kapada mereka mengikut kemahuan selera dan nafsunya sahaja.
Kapada anak-anak Seni Gayong bimbingan saya yang masih bergiat terutama
Gurulatih-Gurulatih yang memegang amanah atas ikrar dan perjanjian kamu
dengan nama Allah dan Rasul jika Ilmu dan pelajaran yang saya sampaikan
adalah asli dan tulin, mengapa kamu tidak dapat memelihara dan menyampaikan
yang sama.
Tiada perbezaan antara orang dahulu dengan orang sekarang.Kalau orang
dulu mempunyai empat kerat kurnia dari Allah bagitu juga dengan orang
sekarang.Kalau orang dulu bolih melompat tendang hingga ketinggian 8 atau
9 kaki mengapa orang sekarang hanya 5 kaki sahaja.Kalau orang dahulu bolih
buat lompatan Harimau Manghambur Mangsa melepasi 12 atau 13 mengapa sekarang
9 orang sahaja.Mengapa orang dahulu berani mengelak lontaran tombak yang
ditujukan kearahnya tetapi orang sekarang tidak mahu.Malahan permainan-permainan
yang dipersembahkan dalam pertandingan kesenian antara cawangan Seni Gayong
(PASAK) sekarang banyak berunsur pembohongan dan tidak lojik,tidak waras
dan tidak ngeri.Yang ada langsung tiada menggunakan tenaga. Saya sudah
nampak banyak ahli-ahli baru yang berminat dengan permainan Kesenian Seni
Gayong malahan mereka yang dahulunya berminat sangat dengan olahraga sekarang
cenderong dengan Kesenian Gayong kerana keyakinan dan minat mereka membiasakan
diri dengan senjata tajam. Kata mereka tiada guna kalau mengaku belajar
silat kalau tidak pandai dan berani menghadapi senjata.Mungkin dengan
kata-kata itu mereka baru bangkit dalam kesedaran.Dan ingin saya menambah
sadikit tentang senjata asli iaitu keris dimana saya perhatikan semakin
lama saolah-olah sudah diabaikan.Tiada guna kalau kita belajar silat kalau
tidak pernah menggunakan nya dan mempelajari permainan nya.

Melihat keadaan sekarang anak-anak yang masih kecil dah berminat untuk
mengenakan pakaian silat malahan ingin mempelajari silat sekalipun mereka
belum kenal apa erti tata-susila,amanah,pegangan dan sebagainya.Namun
hasrat dan keinginan mereka berlainan.Ada yang belajar kerana ikut kawan,ada
pula yang belajar kerana kemahuan orang tua supaya anak-anak ini sekurang-kurangnya
ada aktiviti.Bagi saya itu tidak penting Yang penting adalah penglibatan
mereka untuk berjinak-jinak dengan Seni Gayong supaya perkenalan ini akan
menguatkan lagi pegangan kerukunan dalam hidup terutama menghurmati dan
taat kapada kedua ibubapa yang mana sekarang banyak kejadian anak yang
derhaka kapada kedua ibubapa.Kalau ini kedudukan nya tiada guna berilmu
walaupun setinggi langit.
Kapada pemimpin-pemimpin muda Silat Seni Gayong (PASAK) kamu akan menghadapi
cabaran yang hebat dan harus bersedia menghadapi dengan bijaksana untuk
memimpin anak-anak sekecil ini,Walaupun mereka tidak bagitu lasak tetapi
segala kekasaran dalam Seni Gayong bolih dilembutkan tanpa mengubah keaslian
gerak dan permainan nya asalkan tidak membosankan dan mengelirukan mereka.
Hari demi hari mereka membesar dan sadikit demi sadikit dengan keaslian
gerak dan permainan Seni Gayong yang lembut tadi dipraktikan dengan kekasaran
mengikut kemampuan mereka.Insya Allah mereka dapat melakukan.
Selagi hayat dikandung badan dan selagi diperlukan, saya tidak mahu melihat
anak-anak bangsa dan agama melencong ke kancah-kancah dan campuran yang
tidak berfaedah.
Dengan sendiri mereka akan hilang pedoman sabagai anak-anak yang menghurmati
dan taat kapada kedua ibubapa.
Wahai anak-anak bangsa ku,agama ku. Jauhi diri kamu dari sikap durjana
terhadap kedua orang tua kamu dan jika kamu berilmu,berilmulah dengan
berguru dan jauhi dari penderhakaan.
Carilah ilmu walau dimana kamu berada.Untuk mendapatkan ni'mat nya, amalkan
dan laksanakan dengan hati dan jiwa yang suci dan bersih,ikhlas dan sabar.Insya
Allah yang berat menjadi ringan,yang payah menjadi mudah dan bagitu juga
pegangan (tradisi Gayong) yang dipandang kuno dan kolot ini akan terasa
indah nya.
Indah dengan penglihatan dihati bukan nya pandang memandang dengan mata
yang kasar. Belajar, terus belajar, terus belajar dan apabila dewasa kelak
tuntut Ilmunya hingga dalam genggaman.
Ya Allah,lindungi dan selamatkan cicit-cicit Seni Gayong ku ini, tetapkan
iman mereka, pertingkatkan hidayah dan keyakinan mereka serta terangkan
hati mereka dalam segala pelajaran.
- Amin.
Ampun dan maaf atas segala penyampaian dan kata-kata yang tidak saya
sedari kesilapan dan kesalahan nya. Sekian.Saya sudahi dengan wabillahi
taufiq wal hidayah Assalamu'alaikum wr. wb.
Terima kasih.
Hj. Hussain Bin Kaslan.
(Wakil Mutlak Dato' Meor A. Rahman B. Daeng Uda Md. Hashim D.P.C.M.)
Pengasas, Silat Seni Gayong (PASAK) Singapura dan Serantau.
Kapada sesiapa yang ingin menghubungi saya, Tel:+6563969001.
HAJI HUSSAIN GURU TERSAYANG
NAGA BORA NAMA GELARAN
JASA BUDI MU TETAP DI KENANG
PENGABDIAN MU KAMI MULIAKAN - Mohd Rahim Hj. Hussain
Penulis: Hj. Hussain bin Kaslan |
Copyright 2005 Posted on:01-Dec-2005
|
|